.::FuTure LeAdEr::.

Tuesday, March 9, 2010

Jangan taksub membidaahkan orang, guna pendekatan khilaf 2

sambungan daripada edisi yang lalu:
3- Tidak sombong untuk kembali kepada kebenaran apabila yakin dirinya tersilap.
Imam Ahmad pernah menarik balik tuduhan bidaahnya kepada perbuatan seorang lelaki buta yang membaca al-Quran di sisi kubur selepas Muhammad bin Qudamah menyebut ada hadis menyokong perbuatan lelaki itu membaca awal dan akhir surah al-Baqarah.
Apabila dikebumikan jenazah, Muhammad bin Qudamah menyebut, "Aku mendengar Ibnu Umar mewasiatkan dengan perkara itu." Ulama menyebut, "Sesungguhnya untuk menjadi ekor dalam kebenaran lebih aku sukai daripada menjadi kepala dalam kebatilan."

Imam Syafie berkata, "Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang melainkan aku lebih suka dia diberi taufik, diluruskan, dibantu dan dikurniakan pemeliharaan serta penjagaan daripada Allah SWT. Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli sama ada Allah menzahirkan kebenaran itu melalui lidahku mahupun lidahnya."

4- Menjauhi masalah yang menyebabkan fitnah, pergaduhan dan huru-hara. Pada hari ini kita lihat ramai yang gemar membicarakan perkara yang mencetuskan kontroversi dalam masyarakat setempat.

Sangkaan mereka masyarakat sekitar termasuk tok guru tersilap. Kononnya mereka yang mengetahui hadis dan al-Quran. Kesan daripada adab ini dapat kita lihat melalui kehidupan imam mazhab empat seperti:

i) Saling memuji antara satu sama lain. Imam Syafie memuji Imam Abu Hanifah,"Manusia fakir (berhajat) kepada Abu Hanifah dalam fiqh." Imam Syafie memuji gurunya, Imam Malik, "Apabila disebut ulama, Malik ialah bintang yang bergemerlapan." Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya adakah Imam Syafie seorang pakar hadis lalu beliau menjawab, "Demi Allah, beliau seorang pakar hadis." Diulang-ulangnya sebanyak tiga kali.

Imam Syafie berkata, "Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan di sana seorang yang lebih warak, lebih bertakwa, lebih faqih dan lebih alim daripada Ahmad bin Hanbal."

ii) Saling menghormati antara satu sama lain. Penghormatan yang diberikan sesama mereka adalah dalil lain yang menunjukkan kasih sayang dan kekaguman yang terbuku di dalam hati sanubari mereka.

Imam Syafie membelek helaian kertas dengan lembut di hadapan Imam Malik kerana kagum dengan kehebatan beliau. Tujuannya supaya Imam Malik tidak mendengarnya. Imam Syafie tidak baca qunut ketika solat Subuh berdekatan kubur Imam Abu Hanifah kerana beradab dengannya.

Ini dalil yang menunjukkan mereka tidak hanya menghormati orang yang masih hidup malah apabila meninggal dunia.

iii) Saling mendoakan antara satu sama lain dalam keadaan tidak diketahui tuannya. Imam Ahmad berkata, "Aku tidak pernah solat sejak 40 tahun yang lalu melainkan aku akan mendoakan untuk Imam Syafie rahimahullah."

Kita hendaknya selalu memohon kepada Allah untuk diberi petunjuk kepada kebenaran serta perkara yang menjadi perselisihan.

Kita lemah dalam segala hal kerana hawa nafsu sering mendahului yang menyebabkan jalan kebenaran tertutup.

Kita perlu menghormati pendahulu yang mendahului kita dalam iman dan amal selain tidak melupakan untuk mendoakan kebaikan serta kesejahteraan untuk mereka.

No comments:

Post a Comment