.::FuTure LeAdEr::.

Saturday, March 6, 2010

Melayu pupus 50 tahun lagi???


saya tertarik dengan keluaran majalah Mastika yang lepas, mengenai Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). berikut merupakan artikel tersebut...

Lelaki berusia 50-an ini sering kali dilihat bersongkok, berbaju Melayu putih dan berkain pelikat walau dimana sahaja berada.

Tidak kira di masjid ataupun di surau, forum-forum anjuran pihak berwajib mahupun majlis-majlis rasmi yang dihadiri pemimpin-pemimpin besar dunia termasuklah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Siapakah gerangan lelaki ini?

“Itulah Cikgu Azmi! Pengerusi TERAS! Berjiwa Melayu habis!” jelas seorang teman penulis bila diajukan soalan tersebut.

Wah, seorang Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) lebih senang berkain pelikat sahaja.! Menarik, Memang menarik!

Bukan senang seorang pemimpin boleh berada di khalayak ramai, berimej Melayu bergini. Kebanyakan pemimpin kita mengenakan baju Melayu dan bersongkok hanya apabila berada di majlis yang berunsur kemelayuan misalnya hari raya, majlis diraja ataupun ketika bersolat jumaat.

Jika tidak, mereka lebih selesa berbaju kemeja, bertali leher dan berkot. Pakaian begini memang cantik, tetapi ia bukan identity Melayu, itu imej dari Barat.

Suatu hari, penulis berpeluang bertemu Cikgu Azmi atau nama sebenarnya Mohd. Azmi Abdul Hamid di sebuah hotel di ibu Negara. Tanpa membuang masa penulis bertanya, kenapa agaknya beliau begitu selesa berimej begini? Tidak ada orang ketawakah?

Maklumlah, berbaju Melayu, bersongkok dan berkain pelikat di majlis-majlis rasmi yang dihadiri tokoh-tokoh politik dan orang kenamaan. Beliau tidak berasa kekokkkah?

Cikgu Azmi tersenyum. Pertanyaan itu sudah lali diajukan kepadanya. Begini jawapan Cikgu Azmi.

“Penampilan ini bukan hanya satu identity, tetapi menggambarkan suatu keyakinan terhadap diri saya sendiri. Saya membawa mesej bahawa orang Melayu harus yakin terhadap bangsa sendiri, pakaian serta adatnya.

“Yang penting kita jangan rasa kerdil pergi kemana-mana pun dengan watak Melayu sejati kerana kita membawa sesuatu yang asli!” beritahunay jujur.

Melalui penampilan begini, cikgu Azmi berasa dia mempunyai kekuatan, keaslian dan keyakinan ke atas diri sendiri dengan jiwa merdeka.

“Jangan berasa janggal, kerana manusia penuh dengan ragamnya. Orang lain harus hormat, aa yang penting bukan bukan mempamerkan imej luaran sahaja, tetapi isinya juga”beritahu beliau tenang.

Cikgu Azmi mengaku dengan cara berpakaian begini, dia tidak merasa kekok seandainya mahu berdebat dengan mana-mana pihak walaupun orang itu adalah Setiausaha Agung PBB sekalipun.

Cikgu Azmi berasa yakin jika hendak berhujah menyatakan pendi- riannya mewakili sebuah Negara berdaulat apabila berkain pelekat dan bersongkok.

“ Apa yang saya pakai, itulah mesej saya nak sampaikan!” ujar Cikgu Azmi.

Sebelum ini, Cikgu Azmi pernah bertemu Kofi Annan mahupun pegawai pegawai-pegawai dari PBB dengan berkain pelekat dan bersongkok sebagai lambing jati diri orang Melayu.

Syabas, Cikgu Azmi kerana Berjaya menonjolkan imej Melayu di mata dunia tanpa rasa malu! Tapi, apa pula perjuangan cikgu Azmi agama, bangsa dan Negara?

Lalu Cikgu Azmi menjelaskan panjang lebar tentangTERAS yang diwujudkannya sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib bangsa Melayu.

Pada hemat Cikgu Azmi, semenjak merdeka sehingga sekarang, banyak kemelut dalaman yang melanda bangsa Melayu.

“Wujud dua aliran yang membantu membangunkan bangsa Melayu iaitu aliran politik dan aliran ekonomi. Untuk aliran masyarakat tidak Nampak tulen, jadi kami rasa perlu bergerak sedaya upaya untuk membela nasib bangsa melayu,” jelasnya.

kalangan pemimpin Melayu itu sendiri.

“Kita ada polemik ekonomi, pendidikan dan polemic budaya tetapi sayangnya polemik-polemik tersebut tidak menjadikan kehidupan Melayu itu semakin baik tetapi berakhir dengan krisis yang tak pernah selesai”.

“Bermula dengan debat, berakhir dengan kekeliruan. Mengapa jadi begini? Jadi itu yang membuatkan saya rasa tidak berpuas hati. Kalau kita lihat pada bangsa lain, sekiranya dalam kalangan mereka timbulkan krisis, mereka mampu menyelesaikannya dan ikatan itu menjadi semakin kukuh.

“Tapi tidak berlaku kepada bangsa Melayu. Jika kita perhalusi sesuatu isu biasanya akan terbengkalai ataupun berkecai begitu sahaja.

TERAS ingin mengubah konflik dalaman orang Melayu kepada suatu revolusi yang lebih baik dan bersungguh-sungguh, bukan sekadar retorik atau sekadar berslogan semata-mata,” beritahu Cikgu Azmi serius.

Perbualan antara penulis dan Cikgu Azmi semakin serius. Terpancar lelaki separuh umur ini kesedihan atas nasib banggsanya yang disayangi dan disanjung tinggi selama ini.

Apakah punca sebenar agaknya bangsa Melayu kita semakin pincang dari segala sudut? Penulis sekali lagi mengasak soalan kepada beliau.

Apakah akan terjadi kepada bangsa Melayu kelak sesudahnya kita mengecapi nikmat kemerdekaan selama 52 tahun? Apa nasib bangsa Melayu yang pernah dijulang tinggi oleh masyarakat dunia suatu ketika dahulu?

“Melayu akan pupus!” tegas Cikgu Azmi ringkas.

Penulis tersentak! Apakah benar dakwaan Cikgu Azmi ini? Pupus? Berapa lama lagi Melayu akan pupus? 100 tahun? 200 tahun? Atau mungkin 300 tahun?

“50 tahun yang akan mendatang ini…” jawab Cikgu Azmi ringkas.

50 tahun? Saya menggaru-garu kepala. Jarak 50 tahun tidak jauh. Saya seperti tidak mempercayai bangsa saya akan pupus tidak berapa lama lagi.

Mustahil! Tempoh 50 tahun amat pendek untuk sesuatu bangsa yang agung suatu ketika dahulu untuk pupus. Pasti ada hujah yang lebih kuat dapat menyokong ramalan Cikgu Azmi.

“Ya, secara zahirnya, orang Melayu itu wujud, tetapi kepupusan suatu bangsa itu ialah tatkala bangsa itu sudah tiada keyakinan untuk wujud sendiri.

Ia tidak boleh bergerak sendiri. Adat resamnya, tidak boleh dihayati, hanya akan menjadi pameran dan produk pelancongan.

“Adat resam tidak dijadikan sebagai gaya hidup. Contoh yang lain pula tulisan jawi. Apabila tulisan jawi tidak dipopularkan semula kepada bangsanya, tulisan jawi itu pupus. Melayu akan pupus bukan secara fizikal, tetapi wataknya, sifatnya, bangsanya. Lalu bangsa itu akan pupus dan hilang,”jelas Cikgu Azmi.

Penulis terkesima apabila mendengar penjelasan beliau. Seraya itu penulis terus mengajukan soalan terhadap kekeliruan yang bermain di minda. Apa puncanya Melayu pupus?

Adakah berpunca dari pucuk pimpinan dan mainan politik atasan atau jati diri orang Melayu di peringkat masyarakat sendiri penyumbang segala kepincangan dan masalah identiti,, masalah budaya, masalah penyatuan dan berbagai-bagai masalah yang penulis rasa sehingga habis penuh muka surat ini tak mungkin cukup jika disenaraikan. Apakah punca sebenarnya Cikgu Azmi?

“Sebenarnya kesedaran dan perubahan itu perlu datangnya dari setiap orang Melayu itu sendiri. Kita perlu menghayati semula apa erti 53 tahun kemerdekaan kepada orang Melayu.

Kita mesti memahami dan menjiwai erti kemerdekaan kita walaupun tidak sempurnanya kemerdekaan kita, tetapi andai kita tidak berubah, 50 tahun mendatang adalah fasa yang akan menentukan hidup mati orang Melayu.

Kita sekarang sedang meraba-raba, sungguhpun setiap orang Melayu itu sedar di mana yang tidak

kena, kepimpinan ataupun sikap orang Melayu sendiri. Kita membiarkan orang lain berubah dahulu untuk kemajuan tetapi kenapa kita tidak mahu berubah?” soal Cikgu Azmi.

Pada perkiraan beliau, walaupun bangsa Melayu itu sendiri banyak peluang dengan bantuan pelbagai agensi seperti MARA, UDA, RISDA, FELDA dan pelbagai lagi agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan yang membantu orang Melayu, tetapi masyarakat Melayu tetap tidak mahu berubah. Yang makin gahnya intitusi lain pula.

“Kalau bahagian kepimpinan pula saya menuntut politik yang jujur, tidak kiralah dari mana pihak sekalipun kerana kejujuran politik itu dapat memperhalus segala dasar yang di atas(kepimpinan) dan disalurkan dengan baik untuk dicernakan pada orang Melayu.

Malangnya ia tidak berlaku. Lalu dalam organisasi ini itu secara langsung wujudnya kromisme, nepotisme, favouritisme dan kekalutan, perebutan jawatan dan akhirnya penerima bantuan pasif (orang Melayu) tidak memperoleh manfaatnya dengan berkesan.

Andai kejujuran politik itu diterima dan dipraktikkan, maka sesuatu yang baru (baik) akan berlaku,” ujar Cikgu azmi bersungguh-sungguh.

Sebelum sesi pertemuan berakhir, Cikgu Azmi sempat mengingatkan bahawa kata-kata legenda Laksamana Hang Tuah, ‘takkan Melayu hilang di dunia’ itu membawa mesej penting pada orang Melayu iaitu Melayu akan hilang!

Perkataan hilang itu menggambarkan bahawa Melayu itu boleh hilang andai kata kita tidak berusaha untuk mengekalkannya.

Wahai bangsaku, bersediakah kita untuk pupus?

No comments:

Post a Comment